MALAYSIA
PM Anwar gesa dasar luar dan ekonomi yang sejajar, lebih erat dalam rantau ASEAN

Perdana Menteri Anwar berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Rabu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri-menteri Luar dan Menteri-menteri Ekonomi ASEAN untuk mewujudkan penjajaran lebih erat antara dasar luar dan dasar ekonomi serantau.
Beliau berkata, langkah tersebut adalah bertepatan dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang dimeterai dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 lepas yang menyeru kepada sinergi yang lebih kukuh merentasi tunjang dan sektor.
Anwar berkata, persefahaman yang dipupuk tidak boleh terhenti sekadar deklarasi, tetapi mesti diintegrasi dalam institusi, strategi dan keputusan tentang dasar ekonomi.
“Kita mesti membina amalan penyelarasan yang sepadan dengan realiti yang sedang kita hadapi. Dan dalam kita mengharungi tekanan luaran, kita perlu memperkukuh asas dalaman kita."Berdagang lebih aktif sesama sendiri, melabur antara satu sama lain, dan mempergiat integrasi merentasi sektor dengan iltizam yang teguh.
“Membina ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan saling berhubung merupakan satu keperluan strategik, yang akan menjadi tunjang kepada daya tahan dan kesinambungan kita untuk dekad-dekad yang akan datang,” kata Anwar lagi.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Terdahulu Anwar berkata, ASEAN tidak lahir dalam keadaan yang dipermudahkan, tetapi dibentuk dengan kerumitan oleh negara-negara yang memahami tentang risiko perpecahan, serta harapan yang boleh direalisasikan melalui dialog.
"Namun, kita telah berjaya mengekalkan keamanan dan memperluas kemakmuran dengan cara yang sukar ditandingi oleh kebanyakan rantau lain. Kita mencapainya dengan memupuk amalan kerjasama, kesediaan untuk terus berinteraksi - walaupun sejarah silam mencabar dan masa kini menguji."
"Kekuatan rantau kita bukan terletak pada ketiadaan ketegangan, tetapi pada komitmen kita untuk menguruskannya melalui rasa hormat bersama, dialog berterusan dan pencarian konsensus. Inilah cara ASEAN - dan ia mesti kekal sebagai panduan kita,” katanya lagi.
Menurut Perdana Menteri, ASEAN perlu menolak tanggapan bahawa dunia boleh dibahagikan kepada sfera pengaruh, dan keputusan mengenai rantau ini boleh dibuat di tempat lain.
Tegasnya lagi, ASEAN adalah sebuah rantau yang menentukan haluannya sendiri - secara berhemah, tersusun dan penuh tujuan.
“ASEAN tidak akan dibincangkan tanpa kehadirannya," tegas Perdana Menteri.
Dalam keadaan global yang terus dilanda ketidaktentuan, Anwar berkata, keperluan untuk bertindak dengan tujuan yang jelas di rantau ini tidak boleh dipandang ringan - dengan memperkukuh kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat serantau.
Beliau berkata, ASEAN akan terus memberi tumpuan kepada kerjasama yang bersifat praktikal: keterhubungan, keselamatan makanan, transformasi digital, pendidikan, kesihatan awam, dan daya tahan iklim.
"Usaha-usaha ini terpancar dalam ketekunan seorang ibu di Batambang, yang membuka gerai sewaktu fajar menyingsing. Ia berterusan dalam tangan seorang petani di Luzon Tengah, yang mengusahakan tanah yang telah menyara keluarganya sejak turun-temurun. Dan ia bersinar dalam mata penuh harapan seorang anak di Chiang Rai, yang melangkah ke sekolah dengan impian masa depan."
"Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau kita mampu menjadi lebih aman dan makmur - jika kita berani melihat ASEAN bukan sebagai negara-negara yang bergerak secara selari, tetapi sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan bersama,” kata beliau lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami