Skip to main content

Malaysia

PM Anwar gesa ketua jabatan, agensi turun padang selesai masalah projek pembangunan

Isu projek pembangunan yang berstatus sakit, lewat daripada jadual serta kelembapan dalam perbelanjaan peruntukan yang telah diluluskan antara yang dibangkitkan dan disentuh sewaktu Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang saya pengerusikan petang tadi. -- FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiap ketua jabatan dan agensi digesa turun padang bagi meneliti permasalahan, memahami kesukaran serta segera menyelesaikan sebarang isu yang menghambat pelaksanaan projek pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibangkitkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 petang ini, yang turut menyentuh isu projek pembangunan berstatus sakit, kelewatan daripada jadual serta kelembapan perbelanjaan peruntukan yang telah diluluskan.

Anwar berkata Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan pembangunan yang besar untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi di seluruh negara, justeru menjadi tanggungjawab ketua jabatan dan agensi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Maka, menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan, meneliti permasalahan yang dihadapi serta memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian.

“Kita tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Beliau berkata komitmen berkenaan penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement