KUALA LUMPUR: Keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat membuat kemajuan ketara dalam berdepan cabaran negara serta di peringkat global.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, usaha pasukan Perdana Menteri bertepatan dengan tujuan membawa Malaysia kembali ke landasan menuju sebuah negara maju.

"Saya nampak kerjasama yang dibawa dengan negara besar, serantau dan negara yang miskin dan sebagainya, saya rasa mampu menjadikan peranan kita lebih aktif dan dihormati di peringkat global dan kita juga makin dikenali.

"Walaupun terlalu awal, kita ada kemampuan untuk mencapai tahap Asian Tiger," katanya dalam Buletin Awani pada Sabtu.

Tambah beliau, tempoh setahun terlalu singkat untuk mengukur kemampuan dan keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri dalam membawa lebih banyak kebaikan kepada negara.

Dalam masa sama, negara, jelas Mohd Azizuddin, turut menyaksikan pelbagai perubahan positif terutama menarik pelaburan asing.

"Ada kesan yang positif atas usaha dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memantapkan daripada segi pelaburan dan ekonomi dalam negara ini. Cuma setahun ini terlampau singkat untuk melihat kesan yang lebih langsung kepada rakyat.

"Jadi saya jangka pada tahun akan datang kita akan tengok peranan Malaysia yang lebih aktif di peringkat global, lebih menyuarakan isu sejagat khususnya berkaitan ekonomi, Palestin, isu berkaitan pencabulan hak asasi manusia," kata beliau lagi.