MALAYSIA
PM Anwar lawat Amir Raja Lawak, sampaikan sumbangan

Anwar diiringi MB Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, meluangkan masa selama setengah jam beramah mesra dengan pelawak popular itu. - Facebook Anwar Ibrahim
KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menyantuni Mohammad Amirullah Azmi, atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak, di premis perniagaannya berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Anwar diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, meluangkan masa selama setengah jam beramah mesra dengan pelawak popular berusia 36 tahun itu.
Semasa pertemuan itu, Perdana Menteri turut bertanyakan keadaan ayah Amir yang sedang menerima rawatan kanser usus di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Perdana Menteri dan Mohd Nassuruddin turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelawak berkenaan.Kunjungan tersebut adalah susulan hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Amir semalam yang menyatakan hasratnya untuk bertemu pemimpin nombor satu negara itu.
Amir pula melahirkan rasa syukur dan terharu kerana dapat bertemu dengan Anwar.
"Saya hanya membuat hantaran di Facebook kerana tahu Perdana Menteri akan hadir merasmikan majlis penutup PMR (Program MADANI Rakyat) berdekatan kedai.
"Saya bertanya siapa yang menguruskan kehadiran beliau dan tidak sangka Perdana Menteri sendiri tahu tentang masalah saya," katanya.
Pelawak itu berkata beliau kemudian dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Datuk Farhan Fauzi semalam bahawa Anwar akan singgah ke kedainya.
"Syukur dan terkejut, saya sangka Perdana Menteri sahaja yang akan hadir tetapi ramai pemimpin besar yang hadir," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami