PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara dan universiti di Jepun diperkukuhkan bagi memperluas penyelidikan dalam bidang teknologi kuantum.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu antara yang ditekankan Perdana Menteri semasa lawatan rasmi beliau ke Jepun baru-baru ini.
Beliau berkata, Anwar turut menekankan keperluan mempererat hubungan antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara, khususnya dalam bidang penyelidikan kuantum yang dilihat semakin penting dalam pembangunan teknologi masa depan.
"Perdana Menteri meminta supaya usaha kerjasama antara Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kyoto dipertingkatkan, selain menggalakkan lebih banyak universiti tempatan menjalin kerjasama erat dengan universiti di Jepun.
"Langkah ini penting bagi memperkukuh keupayaan negara dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi berimpak tinggi," katanya pada sidang pasca Kabinet, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penyelidikan kuantum mempunyai potensi besar dalam membantu negara memanfaatkan teknologi baharu, termasuk dalam bidang kriptologi kuantum dan penyulitan kuantum.
Katanya, kerjasama dalam bidang berkenaan juga selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh keupayaan negara dalam sektor teknologi tinggi serta ekonomi digital.
"Ini adalah bidang yang sangat penting termasuk dalam usaha mengguna pakai teknologi quantum cryptology dan quantum encryption," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan lawatan rasmi Anwar ke Jepun selama tiga hari membuahkan hasil apabila Malaysia dan Jepun memeterai empat memorandum kerjasama (MoC) dalam beberapa sektor strategik.
Kerjasama itu merangkumi bidang keselamatan maritim, alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan kawal selia peranti perubatan, selain memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor berteknologi tinggi.