ALOR GAJAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa makan tengah hari bersama-sama masyarakat di Restoran Sultan Salai Taboh Naning di sini.
Ketibaan Anwar pada kira-kira 12.30 tengah hari, disambut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Sepanjang kira-kira 30 minit berada di restoran itu, Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan para peniaga dan lebih 100 pengunjung yang tidak melepaskan peluang bersalaman serta merakam swafoto bersama beliau, termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Anwar turut menikmati pelbagai hidangan masakan salai yang menjadi antara makanan ikonik dan tarikan di kawasan Taboh Naning.
Sejurus selesai makan tengah hari, beliau beredar ke Masjid Ar-Rasyidin, di sini bagi menunaikan solat Jumaat.
-- BERNAMA