SINGAPURA: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kota Singa dimulakan dengan kunjungan rasmi ke Istana Singapura kira-kira jam 11 pagi pada Isnin.

Ketibaan beliau dan delegasi Malaysia diraikan dengan sambutan rasmi dengan lagu 'Negaraku' dimainkan diikuti lagu kebangsaan Singapura, 'Majulah Singapura'.

Perdana Menteri kemudiannya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan diiringi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Usai memeriksa perbarisan, Anwar kemudiannya menyertai majlis menamakan spesies orkid hibrid sebagai 'Dendrobium Anwar Azizah' bersempena dengan nama Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura Halimah Yacob pada jam 11.20 pagi

Beliau kemudian mengadakan pertemuan empat mata bersama Hsien Loong dan antara perkara dibincangkan termasuk isu mengenai keselamatan siber dan ekonomi digital.

Difahamkan, berapa perkara lain turut disentuh termasuk beberapa topik yang lebih sensitif antaranya persempadanan maritim, ruang udara dan bekalan air.

Kedua-dua Perdana Menteri juga menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman untuk mempromosikan Kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.

Anwar kemudian menyertai jamuan makan tengah hari anjuran Hsien Loong di Istana Singapura.

Turut hadir dalam lawatan sama ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Jadual Perdana Menteri pada sebelah petang pula menyaksikan beliau akan bertemu diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia kira-kira jam 4.15 petang.

Anwar dijadual mengadakan sidang media bersama media Malaysia pada jam 5.15 petang sebelum pulang ke tanah air pada jam 6 petang.