PM Anwar tinjau persiapan Deepavali di Brickfields

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beramah mesra dengan orang ramai ketika melakukan tinjauan persiapan sempena perayaan Deepavali di Jalan Little India, Brickfields, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa di Brickfields di sini petang ini bagi meninjau persiapan penganut Hindu menyambut Deepavali.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau persiapan sambutan Deepavali di Brickfields dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung di Little India.
- Anwar turut menikmati minum petang bersama komuniti India di Madras Bakery sebelum melawat bazar dan kedai sekitar kawasan itu.
- Kehadiran Anwar disambut positif oleh masyarakat India yang menghargai keprihatinan kerajaan terhadap semangat perpaduan.
Sepanjang lawatan itu, Anwar tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung yang tidak mahu ketinggalan bersalaman selain mengambil swafoto dan merakam video kenangan bersama Perdana Menteri.
Seorang peniaga, R. Tashwindren, 30, berkata peluang bertemu mata dan bersalaman dengan Perdana Menteri merupakan kenangan manis baginya.
"Beliau (Anwar) nampak mesra dan tidak kekok langsung dengan orang ramai. Kami rasa dihargai apabila pemimpin sendiri turun tengok persiapan Deepavali kami," katanya.
Seorang pengunjung, K. Meena, 32, berkata kehadiran Anwar bukan sekadar lawatan biasa, tetapi mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap semua kaum di negara ini.
"Deepavali bukan sahaja untuk masyarakat India, tetapi juga waktu untuk kita semua raikan semangat perpaduan. Saya rasa gembira sebab Perdana Menteri pun datang sendiri," katanya.
Penganut Hindu akan menyambut Deepavali pada Isnin ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami