KUALA LUMPUR: Perdana Menteri telah meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji semula cadangan supaya badan bebas diwujudkan bagi menyiasat aduan dan tuduhan terhadap badan penguat kuasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat perkara itu tidak begitu sukar untuk dilaksanakan kerana sudah ada cadangan awal daripada beberapa pihak.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada sebuah suruhanjaya atau mekanisme lain akan dibentuk, namun menegaskan arahan sudah diberikan kepada AGC.

“Cuma saya nak tekankan di sini, bila timbul isu IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) yang dipertikaikan polis, kenapa ditujukan kepada mereka sahaja sedangkan permasalahan itu perlu libatkan semua agensi penguatkuasaan.

"Ini cadangan baik. Satu badan bebas yang boleh ambil tindakan, menyiasat terhadap semua tuduhan kepada badan penguatkuasaan.

“Ini termasuklah polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain yang berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH - Kota Damansara) yang mencadangkan penubuhan badan bebas untuk menyiasat agensi penguatkuasaan.