Rakyat diajak untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan Malaysia yang menjadi negara merdeka serta bebas daripada cengkaman penjajahan asing sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata kini bukan masanya bagi rakyat Malaysia berpecah belah sebaliknya mara bersama memajukan negara berasaskan perpaduan nasional.

Katanya, memiliki kedaulatan bermaksud rakyat Malaysia sendiri berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara.

"Dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahan perkara-perkara berkaitan raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan bumiputera seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam perlembagaan persekutuan," katanya sempena perutusan sempena hari kemerdekaan ke 56 yang bertema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku"

Beliau seterusnya mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakyat bahawa kedaulatan sebagai faktor yang menunjangi Malaysia sebagai sebuah negara.

Beliau berkata kedaulatan tidak datang secara bergolek tetapi disulami pengorbanan darah dan air mata.

Perdana Menteri berkata, dalam hal ini, mengaitkan sambutan kemerdekaan bukan sekadar laungan membangkitkan semangat kerana ia memerlukan penghayatan mendalam.

Katanya, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan ialah sejauh mana kejayaan yang dicapai sehingga kini seterusnya mempersiapkan sebuah malaysia progresif pada masa akan datang.

Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri turut memperincikan usaha yang perlu digembleng supaya generasi muda menjadi celik sejak.

"Anak-anak muda perlu terus dibimbing, dipersiap dengan jati diri dan diperteguh semangat patriotisme mereka.

"Barulah malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar," katanya.

Najib turut menyentuh insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah dan menyifatkannya sebagai tragedi berdarah itu menjadi satu pengajaran.

Perdana Menteri juga menggesa rakyat kekal menghargai keamanan, memelihara keharmonian dan memupuk perpaduan dengan mencintai negara.

Ikuti video yang disediakan.