PUTRAJAYA: Majikan digesa tidak bergantung sepenuhnya kepada negara sumber tradisi pengambilan pekerja asing.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, majikan perlu mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara lain yang diluluskan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan yang kekal komited mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing juga menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) mempercepatkan pelaksanaan proses temu duga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di Pusat Sehenti (OSC) mengikut zon dan negeri. 

"Majlis Tindakan Ekonomi yang bermesyuarat hari ini turut membuat ketetapan agar kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mendengar keluhan dan pandangan daripada pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal.

Katanya, kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak swasta melalui sesi libat urus yang berterusan.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga menggesa Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam masa 60 hari berikutan kejayaan agensi itu menyelesaikan 30 peratus isu yang diterima melalui MyMudah dalam masa kurang daripada dua bulan.

Beliau berkata mesyuarat bersetuju supaya MPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah di  kementerian yang belum melaksanakannya selain memberi tumpuan kepada penubuhannya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan isu birokrasi di peringkat berkenaan dapat ditambah baik.

"Mesyuarat mengambil maklum prestasi program MyMudah yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian oleh MPC bagi mengurangkan kerenah birokrasi, namun masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. 

"Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui kerajaan dengan segera.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi pemain industri diselesaikan  segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh.