PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa di Putrajaya.

Perdana Menteri, tiba di kediaman Allahyarham di Precint 10, kira-kira jam 9.40 pagi tadi, dan difahamkan selain memberi penghormatan, beliau juga turut menunaikan solat jenazah.

Selain itu, Ahli Parlimen Bera itu turut meluangkan masa kira-kira 20 minit menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.


Perdana Menteri, tiba di kediaman Allahyarham di Precint 10, kira-kira jam 9.40 pagi tadi. - Astro AWANI


Sebelum itu media melaporkan jenazah Ali, tiba di kediamannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 8.20 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, Putrajaya untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.

"Pelawat yang akan memberikan penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dinasihatkan untuk tiba di dewan mulai 11 pagi hingga 1 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pada 1.30 tengah hari," menurut kenyataan itu.

Ali, 66, dilaporkan meninggal dunia pada 21 April lepas, ketika sedang menerima rawatan di hospital di Dublin, Ireland.

Anak kelahiran Kluang, Johor itu dilantik sebagai KSN pada 19 Jun 2012 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.

Beliau mengakhiri perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam pada 2018.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara kini, Tan Sri Mohd Zuki Ali memberitahu pemberita bahawa Ali ibarat guru kepadanya dalam dunia perkhidmatan awam.

“Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada negara. Kalau nak dicerita pengalaman indah bersama Allahyarham, terlampau banyak. Saya ucapkan takziah kepada keluarganya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Ali, pagi ini.