KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM2.8 juta bagi tahun ini untuk membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Kedah.
Menteri Kewangan itu berkata peruntukan tersebut adalah bagi memastikan para pelajar dapat menuntut ilmu dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat.
“Kerajaan MADANI akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memperkukuh institusi pendidikan Islam serta menyuburkan pengajian dan kefahaman ilmu hadis dalam masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM250,000 bagi pelaksanaan Program Khatam Hadis Sunan Sittah dan Musthola Hadis.
Anwar berkata kedua-dua peruntukan akan diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Kedah.
“Semoga ikhtiar ini membawa manfaat kepada para pelajar dan terus menyuburkan budaya ilmu dalam masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA