PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan untuk pramesyuarat yang berlangsung di Seri Perdana hari ini.

Pertemuan itu adalah sebagai persediaan sebelum bermula persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15, yang akan bersidang esok (24 Jun) hingga 18 Julai.

"Untuk (pramesyuarat) esok permulaan Parlimen. Semua orang (diminta) hadir Parlimen. Jangan ponteng," kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditanya amanat Perdana Menteri dalam pramesyuarat yang bermula 4 petang tadi.

Beliau ditemui media selepas selesai pramesyuarat kira-kira pukul 6.15 petang.

Kereta yang membawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba pada 3.30 petang.

Antara ahli Parlimen lain yang kelihatan hadir antaranya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

-- BERNAMA