MALAYSIA
PM Pakistan Muhammad Shehbaz berangkat pulang selepas lawatan rasmi ke Malaysia

PM Anwar menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. --fotoBERNAMA
SEPANG: Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif, berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dan berlepas pulang dari KLIA dengan sambutan istiadat penuh.
- Beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang serta menyatakan pendirian bersama dalam isu global seperti Gaza dan Islamofobia.
- Muhammad Shehbaz menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada UIAM sebagai pengiktirafan kepimpinan beliau, manakala hubungan dagangan MalaysiaPakistan meningkat kepada RM8.07 bilion pada 2024.
Sebagai tanda penghargaan, Anwar turut menghadiahkan album gambar yang mendokumentasikan kejayaan lawatan rasmi tiga hari itu.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang bertindak sebagai menteri pengiring.
Lawatan Muhammad Shehbaz ke Malaysia itu diadakan atas jemputan Anwar sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Pakistan pada Oktober 2024, yang mencerminkan hubungan dua hala semakin erat antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala semalam dan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, penerbangan, kesihatan awam dan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperdalam hubungan dua hala.
Malaysia dan Pakistan turut menegaskan pendirian bersama dalam isu-isu global utama termasuk situasi di Gaza, Islamofobia serta kestabilan serantau, selain berikrar memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan.
Dalam pertemuan itu, Muhammad Shehbaz turut menghadiahkan Anwar terjemahan bahasa Urdu buku 'SCRIPT: For a Better Malaysia' karya beliau, yang menghuraikan visi untuk membentuk sebuah negara yang adil dan bersatu melalui rangka kerja MADANI berteraskan integriti, keadilan sosial dan kepelbagaian sebagai asas kemajuan.
Perdana Menteri Pakistan itu kemudiannya dinobatkan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kepimpinan dan Tadbir Urus daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang serta sumbangannya dalam pembinaan negara dan tadbir urus Islam di peringkat global.
Penganugerahan itu disempurnakan pada Majlis Konvokesyen Khas yang diadakan di Kampus Kuala Lumpur ISTAC-UIAM, disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sejak hubungan dua hala Malaysia dan Pakistan ditingkatkan kepada tahap Rakan Strategik pada Mac 2019, kedua-dua negara yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 itu mencatat jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM8.07 bilion (USD$1.76 bilion) pada tahun 2024, meningkat 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Eksport utama Malaysia ke Pakistan termasuk minyak sawit, petroleum dan produk kimia, manakala import dari Pakistan meliputi hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut dan produk petroleum.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami