Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PM Singapura Wong hargai kehidupan dan legasi luar biasa Siti Hasmah

61741358356_tbLawrenceWong.jpg
Wong berkata, sebagai perintis dalam bidangnya, Siti Hasmah memberikan sumbangan penting kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial di Malaysia. - Gambar fail
Advertisement

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mengenang doktor perintis itu atas sumbangannya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial yang menyentuh kehidupan generasi rakyat Malaysia.

Dalam menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga, Wong berkata Dr Siti Hasmah menjalani kehidupan yang luar biasa.

“Sebagai perintis dalam bidangnya, beliau memberikan sumbangan penting kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial di Malaysia. Sumbangan beliau menyentuh kehidupan generasi rakyat Malaysia.

“Selain sumbangannya kepada masyarakat, beliau akan dikenang kerana sifat mesra, anggun dan semangatnya dalam menjalani kehidupan. Beliau membawa kemesraan dan semangat dalam segala yang dilakukannya dan akan sentiasa dikenang dengan penuh kasih oleh semua yang mengenalinya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sementara itu, Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan memberikan penghormatan kepada sumbangan Dr Siti Hasmah sebagai perintis dalam bidang perubatan dan kesihatan awam, dengan menyatakan bahawa kehidupan dan kerjayanya membuka jalan bagi generasi wanita dalam profesion berkenaan.

"Beliau memulakan kerjayanya pada waktu apabila tidak ramai doktor wanita di Malaysia dan seterusnya memperjuangkan kesihatan serta kesejahteraan wanita, kanak-kanak, dan masyarakat luar bandar.

Kehidupan dan kerjayanya membuka peluang kepada ramai orang selepas beliau, dan beliau menunjukkan bagaimana perubatan, pada tahap terbaiknya, bukan sahaja mengenai merawat pesakit, tetapi juga meningkatkan taraf hidup dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada 1947, Dr Siti Hasmah mendaftar di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura dan merupakan satu-satunya wanita Melayu yang menuntut dalam bidang perubatan di institusi itu pada tahun berkenaan.

Selepas mengharungi cabaran latihan perubatan, beliau menamatkan pengajian pada Jun 1955, sekali gus menjadi antara wanita Melayu terawal menceburi profesion perubatan pada zaman yang ketika itu masih didominasi oleh golongan lelaki.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada pagi Isnin pada usia 100 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20 Putrajaya pada 6.20 petang Isnin, dengan Dr Mahathir, anak-anak serta anggota keluarga hadir.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement