IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah mencampuri urusan agensi penguatkuasaan dalam menyiasat atau merampas harta mana-mana individu yang terkait dengan siasatan kes rasuah.

Beliau berkata arahan kerajaan adalah menyeluruh untuk agensi berkaitan menyiasat siapa sahaja yang dikesan memunggah kekayaan secara haram.

"Saya tidak campur dalam urusan satu persatu, ahli-ahli Jemaah Menteri, TPM (Timbalan Perdana Menteri) tahu, kita tidak campur supaya siasat si A atau si B, atau rampas harta si A atau si B.

"Arahan kita itu menyeluruh, siapa sahaja yang dikesan memunggah kekayaan secara haram, menggondol kekayaan berbilion dahulu apa lagi sekarang, tanggungjawab badan penguatkuasaan mestilah bertindak dengan tegas dan berani, dan kita akan pertahankan mereka," katanya ketika berucap menutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, beberapa Menteri Kabinet serta pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional peringkat negeri.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kekuatan dan kuasa yang ada pada Kerajaan Perpaduan harus digunakan untuk menghentikan amalan rasuah yang menyebabkan negara berdepan masalah ekonomi yang rumit ketika ini.

"Hutang RM1.1 trilion campur liabiliti kontingensi iaitu jaminan kerajaan mencecah hampir RM1.5 trilion. Orang boleh suarakan kenapa bicara soal lama. Ya, itu soal lama kerana sekarang harus bayar.

"Ini menuntut kita mengurus ekonomi secara bertanggungjawab, dasar ekonomi dan pengurusan yang bertanggungjawab, tidak semestinya tapi kita kena ambil tindakan," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan tidak boleh menyelesaikan semua hutang itu dan mengorbankan peruntukan bagi pembangunan negara serta kebajikan rakyat termasuk dalam soal pendidikan, prasarana dan kesihatan.

Perdana Menteri berkata pada tahun ini, kerajaan bercadang menumpukan kepada program membaik pulih perumahan rakyat termasuk kuarters anggota polis dan tentera serta penjawat awam yang disifatkan sebagai sangat daif dan tidak sesuai diduduki.

"Ini yang kita kerjakan, yang kebetulannya majoriti Melayu tetapi kita tidak jadikan agenda ini Melayu semata-mata tetapi agenda Malaysia, agenda rakyat seperti baiki tandas... 8,600 lebih sekolah mempunyai tandas yang sangat buruk serta daif... dan kita selesaikan semua," katanya.

-- BERNAMA