Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya'kub yang meninggal dunia di Kuching 9.30 malam ini.

"Takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub, mantan TYT Sarawak atas pemergian beliau. Jasa beliau kepada Sarawak amat besar. Moga roh dicucuri rahmat," katanya menerusi catatan di laman Twitter beliau.

Abdul Rahman, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah di Kuching.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi catatan di twitter beliau.

"Takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub, bekas TYT Sarawak. Semoga Allahyarham tergolong di kalangan orang yang beriman. al-Fatihah," katanya.

Allahyarham merupakan Ketua Menteri Sarawak yang ketiga (1970-1981), dan bapa saudara kepada Yang Dipertua Negeri sekarang, Tun Abdul Taib Mahmud.