Skip to main content

Malaysia

PMKS tumbuh 5.7 peratus kepada RM690 bilion pada 2025, atasi pertumbuhan negara

KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong bercakap pada Sidang Media Prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2025 di SME Corp. hari ini.  --fotoBERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong bercakap pada Sidang Media Prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2025 di SME Corp. hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia kekal berdaya tahan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor itu berkembang 5.7 peratus kepada hampir RM690 bilion pada 2025. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata angka itu mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus meskipun berdepan ketidaktentuan global, termasuk ketegangan geopolitik.

Beliau berkata statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diumumkan semalam menunjukkan sumbangan PMKS kepada KDNK Malaysia turut meningkat kepada 39.7 peratus pada 2025 berbanding 39.5 peratus pada 2024.

Hampir 1.3 juta PMKS kini merangkumi 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata krisis geopolitik, perang, tarif, peningkatan kos tenaga serta kelembapan ekonomi negara rakan dagang memberi kesan kepada ekonomi Malaysia sejak tahun lepas.

"Namun, walaupun berdepan pelbagai cabaran itu, ekonomi Malaysia secara keseluruhannya masih mencatat pertumbuhan stabil," katanya pada sidang media Prestasi PMKS 2025 di SME Corporation Malaysia hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Sim berkata lebih 77 peratus PMKS masih terdiri daripada perusahaan mikro, manakala hanya 1.1 peratus dalam kategori sederhana.

Menyentuh aspek cabaran, beliau berkata usaha kini adalah membantu lebih banyak perusahaan mikro untuk berkembang menjadi perusahaan kecil manakala perusahaan kecil menjadi sederhana dan syarikat tempatan berjaya menembusi pasaran global.

Dari segi eksport, beliau berkata PMKS meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada 2025 yang turut mengatasi pertumbuhan keseluruhan eksport negara sebanyak 5.9 peratus.

Sim turut menekankan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh sokongan kepada PMKS dengan meningkatkan peruntukan pembiayaan daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion tahun ini.

Beliau berkata kerajaan menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) berjumlah RM5 bilion serta melaksanakan inisiatif Power Up 10K dengan pembiayaan RM15 bilion bagi meningkatkan produktiviti dan kapasiti PMKS.

Pada majlis itu, Steven turut melancarkan Buku Panduan Pantas Penggunaan FTA oleh SME Corp Malaysia serta menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp Malaysia, Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement