Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran ketenteraman awam ketika negara kini berdepan gelombang kedua koronavirus terbabit.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata walaupun banyak tindakan sudah dikenakan terhadap individu yang menyebarkan pelbagai berita palsu sebelum ini, namun, masyarakat dilihat masih meneruskan perbuatan seumpama itu.

Jelasnya, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyebaran berita palsu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Biarlah pihak Jabatan Kesihatan Malaysia yang keluarkan kenyataan sama ada serius ataupun tidak sesuatu pandemik atau (berkaitan) penyakit yang berjangkit ni.

“Pihak kami akan mengambil tindakan ke atas sesiapa yang mengeluarkan kenyataan palsu. Jadi, kita janganlah percaya sangat pada apa yang keluar dalam Facebook. Kita tunggulah laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Mereka merupakan autoriti untuk keluarkan kenyataan,” ujar Noor Azam.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan mengesahkan, seramai 14 lagi kes dikesan positif COVID-19 dan kesemua mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan kes ke-26.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keadaan itu menjadikan jumlah keseluruhan positif COVID-19 sehingga hari ini, adalah sebanyak 50 kes dan 22 daripadanya sudah dibenarkan pulang.