KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyebaran laporan siasatan buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' oleh laman web Malaysia Today.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan terhadap laman web tempatan itu dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan kes dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas selepas PDRM menerima satu laporan polis berhubung penyebaran maklumat itu yang disiarkan dengan tajuk, 'Rahsia: Laporan Siasatan Ke Atas Buku Tan Sri Tommy Thomas", kata Noorsiah.

Tinjauan terhadap laman web berkenaan mendapati laporan berkenaan telah dimuat naik pada hari ini dan boleh dimuat turun oleh pengguna.

Pada 30 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkannya.

Menurut Ismail Sabri berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan.

-- BERNAMA