Skip to main content

Malaysia

Polis buru empat suspek bersenjata samun kedai emas di Kuantan

71757586471_PolisLogoPolisP.jpg
Suspek dipercayai telah melarikan sejumlah barang kemas sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki dua motosikal. - Gambar fail
Advertisement

KUANTAN: Polis sedang memburu empat suspek bersenjatakan parang dan objek menyerupai senapang patah (pump gun) yang dipercayai merompak sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 2 petang melibatkan empat lelaki yang memakai pelitup muka serta membawa senjata berkenaan. 

“Suspek dipercayai telah melarikan sejumlah barang kemas sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki dua motosikal. Anggaran awal kerugian adalah sekitar RM500,000 dan jumlah sebenar masih dalam proses pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ashari berkata usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek sedang giat dijalankan, selain kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Che Nur Junaidah Che Jusuh di talian 014-882 8135 atau Bilik Gerakan IPD Kuantan di talian 09-565 2222.

Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 39, berkata beliau melihat seorang daripada suspek berdiri di luar kedai dengan memegang dua senjata, termasuk parang panjang. 

Beliau berkata kesemua suspek berkenaan kelihatan memakai baju hujan berwarna gelap sebelum bergegas meninggalkan premis itu dengan dua motosikal tanpa nombor pendaftaran.

“Suasana ketika itu memang sunyi kerana waktu solat Jumaat dan kejadian berlaku begitu pantas. Kami pun risau dengan keselamatan diri apabila seorang daripada suspek memegang senjata dan berada di luar premis,” katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement