Skip to main content

Malaysia

Polis buru tiga suspek curi kenderaan selepas terbabit nahas maut di Bentong

KUANTAN, 26 Ogos - Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah Sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kontinjen Pahang di Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Tanjung Lumpur hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Datuk Azry Akmar Ayob, Pemangku Ketua Polis Pahang. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUANTAN: Polis sedang memburu tiga lelaki yang melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik, Bentong, Isnin lepas, kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata tiga suspek berusia 20-an hingga 30-an itu telah dikenal pasti, manakala seorang lelaki yang menyewakan kenderaan tersebut kepada suspek ditahan.

“Mereka masih bebas dan polis sedang berusaha mengesan serta melakukan tangkapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki berusia 30-an yang ditahan itu turut didapati positif ujian air kencing dan kini masih direman sebelum didakwa di mahkamah.

Dalam kejadian Isnin lepas, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan Honda HR-V di Jalan Mempaga-Sertik, Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong sebelum ini memaklumkan pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi dipercayai meninggalkan kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran selepas kemalangan.

Dalam perkembangan lain, Azry Akmar berkata polis masih meneruskan siasatan terhadap lima Orang Asli yang ditahan kerana disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu operasi di kawasan hutan simpan di Bera, Selasa lepas.

Beliau berkata kelima-lima individu terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki itu ditahan pada 15 Sept dan direman sehari mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat di kawasan berkenaan supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk polis, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi kerajaan lain yang menjalankan operasi dan kerja pengukuran semula di tapak tanah hutan simpan.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement