SABAK BERNAM: Polis giat mengesan seorang suspek lelaki yang tular di Facebook selepas memukul dan mencederakan seorang pemandu lori sampah di Jalan 6, Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku selepas polis menerima aduan daripada pemandu lori berusia 37 tahun.

Menurutnya, mangsa mendakwa dia telah dipukul dan diugut suspek tidak dikenali semasa sedang memandu lori untuk mengutip sampah di kawasan kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati kenderaan suspek menghalang laluan lori sampah dan mangsa telah membunyikan hon untuk meminta suspek alihkan kenderaannya.

"Namun, secara tiba-tiba lelaki itu bertindak agresif dengan datang ke arah mangsa yang berada di dalam lori dan memarahinya dengan kata-kata kesat serta mengugut dan memukulnya menggunakan kayu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Agus Salim memberitahu, mangsa mendakwa mengalami kecederaan pada tangan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam namun dibenarkan pulang.

"Mangsa trauma dengan kejadian menimpanya kerana mendakwa suspek ada membuat ugutan," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, polis membuka satu kertas siasatan d ibawah seksyen 324/506 Kanun Keseksaan dan memohon mana-mana individu yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Sabak Bernam di talian 03-32242222 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohamad Farid Sutrisno Tanjung di talian 019-3224855.

"Polis mengingatkan semua pengguna jalan raya lebih berhemah dan tidak melakukan tindakan di luar batasan undang-undang sehingga mendatangkan kecederaan dan ancaman kepada pengguna lain.

"Sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak polis," tegas beliau.

Pada Ahad, tular satu video di Facebook memaparkan seorang lelaki bertindak agresif menyerang pemandu tersebut. - Sinar Harian