TANAH MERAH: Polis menahan 12 lelaki, seorang wanita dan tiga kanak-kanak lelaki yang merupakan pendatang tanpa izin warga Kemboja selepas menahan tiga kenderaan di Kampung Nibong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Wan Zulfikri Wan Othman berkata polis bergegas ke tempat kejadian pada kira-kira pukul 10.30 malam selepas mendapat maklumat orang awam yang memberitahu terdapat dua Proton Waja dan sebuah Proton Persona dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kampung terbabit.

"Sepasukan anggota dari Balai Polis Nibong telah ke lokasi, dan apabila tiba di Jalan Simpang Tiga Kampung Nibong, tiga kenderaan itu dilihat cuba berpatah balik. Melihat kehadiran polis, tiga pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran pangkalan haram Macang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas diperiksa polis menemukan semua pendatang warga asing itu di dalam tiga kenderaan berkenaan, dan berdasarkan siasatan awal, kesemua pendatang itu dipercayai akan dibawa untuk bekerja di Kulai, Johor.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.

-- BERNAMA