Polis diberi kuasa penuh untuk menyiasat mana-mana pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kebocoran maklumat perbankan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kebenaran itu diberikan sendiri oleh Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini untuk menyiasat kes terbabit mengikut akta berkenaan.

"Polis sebelum ini hanya menyiasat (kebocoran maklumat perbankan) mengikut Akta Jenayah Komputer 1997, namun dengan kebenaran yang diberikan oleh Gabenor BNM, polis kini mempunyai akses untuk menyiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan.

"Setakat ini, tujuh pegawai BNM sudah disoal siasat berhubung kebocoran maklumat siasatan terhadap 1MDB mengikut akta terbabit," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penutupan Peringatan Hari Polis ke-208 hari ini.

Sebelum ini Zeti mengesahkan tujuh pegawai BNM disoal polis berhubung kebocoran maklumat perbankan 1MDB.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, ketujuh-tujuh pegawai terbabit memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis, namun beliau enggan mendedahkan nama pegawai terlibat, tarikh dan bila mereka disoal siasat.