JOHOR BAHRU: Polis Johor menghentikan siasatan terhadap seorang ahli perniagaan Malaysia Teow Wooi Huat atau dikenali sebagai ‘Tedy Teow’ yang ditahan pihak berkuasa Thailand berhubung kes penipuan pembelian hartanah.

Ia setelah kes itu dimaklumkan 'Tiada Tindakan Lanjut' (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata bagaimanapun di peringkat Bukit Aman, siasatan masih diteruskan untuk beberapa kes terhadap suspek.

“Di peringkat Bukit Aman mereka masih ada beberapa kes untuk mengambil tindakan terhadap suspek ini, so far di Johor kita dapati kes ini telah diselesaikan, NFA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Zamri Yahya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Sebelum ini, polis Johor menyemak status siasatan berhubung kes penipuan pembelian hartanah berkait ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.

Terdahulu, media Thailand melaporkan pihak berkuasa negara itu telah menahan Tedy Teow, kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan negara itu.

Dia dilaporkan ditahan di ibu pejabat syarikatnya, MBI Group di Danok berhampiran sempadan daerah Sadao, awal pagi Jumaat lalu.

Dia juga diberi julukan sebagai 'Jho Low 2', ahli perniagaan yang diburu kerajaan Malaysia bagi membantu siasatan penyelewengan wang berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).