Polis Johor menafikan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap satu laporan yang mendakwa anggotanya memukul seorang remaja lelaki tanpa sebab, di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kes itu telah pun disiasat di bawah Seksyen 323 dan 307 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila kertas siasatan lengkap.

"Memandang kes ini masih dalam siasatan, adalah dinasihatkan pihak-pihak berkaitan jika ada sebarang maklumat, bolehlah merujuk kepada Pegawai Penyiasat ASP Idris Seth di talian 07-223 2222," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan dibuat bapa remaja berkenaan di laman sosial yang mengatakan polis kononnya tidak mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuatnya di Balai Polis Dato Onn di sini, sebelum ia menjadi tular.

Dalam laporannya itu, dia mendakwa anggota polis itu telah memukul anaknya yang berusia 23 tahun tanpa sebab ketika ditahan di kawasan Perindustrian Tebrau 4 kira-kira 1.45 pagi Khamis.

--BERNAMA