Skip to main content

Malaysia

Polis Kelantan buka dua kertas siasatan isu aktivis, pelarian Myanmar

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 341/268 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - Foto Bernama
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 341/268 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Polis Kelantan membuka dua kertas siasatan berkaitan isu tular melibatkan aktivis media sosial dan komuniti pelarian Myanmar, termasuk kes samun.
  • Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes samun membabitkan pelarian Myanmar, manakala aktivis dan 12 individu lain telah dibebaskan.
  • Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi, sementara dokumen pendaftaran pelarian diperkenalkan untuk merekod identiti dan data biometrik pelarian.

KOTA BHARU: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial dan komuniti pelarian Myanmar di negeri ini, termasuk kes samun yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata  dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 341/268 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata dua lelaki tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan kes samun membabitkan seorang individu daripada pelarian Myanmar.

“Polis memandang serius isu yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat, selain akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, aktivis berkenaan yang ditahan petang semalam bersama-sama 12 individu lain dibebaskan kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pembebasan mereka disambut kira-kira 50 penyokong di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Mohd Yusoff turut merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa sebanyak 199 kes jenayah melibatkan pelarian Myanmar direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.

Mengulas pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian oleh Kementerian Dalam Negeri, Mohd Yusoff berkata dokumen itu bertujuan merekodkan identiti dan data biometrik pelarian secara sistematik, selain membantu pihak berkuasa menjalankan tapisan keselamatan serta mengesahkan identiti individu berdaftar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement