PASIR MAS: Polis Kelantan akan terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam menangani segala permasalahan khususnya berkaitan jenayah dan penyeludupan di sempadan kedua-dua negara.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hasil pertemuan dengan pimpinan tertinggi polis Wilayah Narathiwat dan Tentera Diraja Thailand Tiga Wilayah (Narathiwat, Yala dan Pattani) pada Mac lepas, kawalan lebih ketat telah dilaksanakan sekali gus memberi impak besar terhadap segala aktiviti di sempadan.

"Kita juga telah mengarahkan ketua polis daerah (KPD) yang bersempadan dengan Thailand agar sentiasa mengadakan kerjasama dengan negara jiran itu bagi memudahkan tindakan serta-merta dilakukan.

"Kerjasama ini sudah pasti dapat memudahkan segala perancangan dan memperhebatkan lagi tindakan kedua-dua pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas KPD Pasir Mas daripada Pemangku Supt Nik Aminuddin Raja Abdullah kepada KPD yang baharu ACP Kama Azural Mohamed.

Kama Azural yang sebelum ini Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menyerahkan jawatannya kepada ACP Kamsani Hassan yang sebelum ini Ketua Jabatan Pengurusan di IPK Terengganu.

Turut berlangsung serah terima tugas Pemangku Timbalan Ketua Polis (TKP) Kelantan SAC Salim Youb yang menyerahkan jawatan tersebut kepada TKP yang baharu iaitu DCP Victor Sanjos yang sebelum ini Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Kelantan ACP Sheik Azhar Sheik Omar yang bertukar ke Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Kuantan, Pahang menyerahkan jawatannya kepada ACP Douglas Nyenging Taong yang sebelum ini merupakan Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah di IPK Sarawak.

-- BERNAMA