KOTA BHARU: Polis mengesan dua lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di hadapan pintu masuk kedai sebuah stesen minyak di Kok Lanas, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu melibatkan dua suspek dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis mengesan kejadian itu pada Sabtu kira-kira jam 10.30 pagi melalui video yang dimuat naik oleh seorang individu di satu platform media sosial.

"Video berdurasi 14 saat itu memaparkan dua lelaki sedang bertumbuk disaksikan beberapa pekerja stesen minyak berkenaan.

"Kedua-dua suspek berumur dalam lingkungan awal 20-an manakala seorang lagi lewat 30-an," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Rosdi, kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi Inspektor Nur Rabiatul Nabilah Rebinor di talian 012-8772106 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Sinar Harian