KEPALA BATAS: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai bertindak membaling cat merah ke beberapa buah kenderaan dan rumah penduduk di Taman Kuala Bekah, Penaga di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie berkata setakat ini, pihaknya menerima empat laporan polis daripada empat penduduk di situ berhubung kejadian tersebut.

"Empat laporan polis itu membabitkan empat buah kereta dan empat buah rumah yang telah dibaling dengan cat merah oleh suspek, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (cctv) di rumah mangsa mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 4.30 pagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati seorang daripada empat yang membuat laporan polis itu telah melakukan pinjaman wang secara dalam talian melalui laman sosial Facebook pada awal November lepas.

Katanya dia telah menjelaskan bayaran balik pinjaman itu namun mendakwa masih diganggu oleh pemberi pinjaman wang yang masih menuntut bayaran tambahan daripadanya.

Mohd Asri berkata pihak forensik telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mengambil sampel cat bersama botol cat yang ditinggalkan oleh suspek di lokasi kejadian untuk tujuan analisa.

Katanya siasatan pihak polis mendapati perbuatan membaling cat merah di beberapa rumah dan kenderaan penduduk itu dilakukan oleh seorang lelaki dan dia menunggang motosikal semasa melakukan jenayah tersebut.

"Kami telah mendapatkan rakaman CCTV berhubung kejadian itu daripada rumah penduduk di situ dan usaha mengesan lelaki tersebut sedang giat dijalankan," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 bagi kesalahan menawarkan pinjaman wang tanpa lesen dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu kepada pegawai penyiasat Sjn Mohamad Azhar Abd Sukor atau Sjn Norlida Bidrus di talian 04-5672222 atau 04-3232422 bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 15 saat yang memaparkan beberapa buah rumah dan kenderaan milik penduduk yang disimbah cat merah dan ia menimbulkan kemarahan penduduk di situ.

-- BERNAMA