SEPANG: Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes cabul seorang pembantu peribadi di kawasan parkir sebuah bangunan di Cyberjaya di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pada jam 2 petang itu, mangsa berusia 27 tahun mendakwa seorang lelaki telah datang untuk membantunya menyimpan barang di dalam kereta.

"Suspek memberi alasan mahu membantu kerana dia mahukan troli yang ada pada mangsa.

"Bagaimanapun wanita itu memberitahu, dia tidak perlukan pertolongan, namun lelaki itu tetap mengambil barang dan memasukkan ke dalam kereta mangsa.

"Tiba-tiba lelaki tersebut telah menyentuh dan meramas punggung mangsa kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Kamarul Azran berkata, ketika kejadian lelaki itu berpakaian hitam, menyandang beg silang hitam, memakai pelitup muka, rambut dan kulit warna gelap.

"Mangsa hanya nampak lelaki itu matanya juling. Wanita itu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.


*Berita asal di Sinar Harian