BAGAN DATUK: Polis sedang giat mengesan lima lelaki disyaki warga asing yang terbabit dalam kejadian samun berkawan menggunakan parang di sebuah rumah dekat Parit 15, Jalan Bagan Datuk, Hutan Melintang di sini, pada awal pagi Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerima panggilan berhubung kejadian itu dari seorang lelaki tempatan pada jam 4.14pagi.

Katanya, terdapat tiga orang mangsa yang merupakan anak beranak di dalam rumah berkenaan ketika kejadian iaitu dua lelaki dan seorang wanita.

"Pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hilir perak telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah kampung melibatkan dua mangsa lelaki iaitu anak berusia 39 tahun, bapa 69 tahun serta seorang wanita iaitu ibu berusia 66 tahun.

"Dalam kejadian tersebut, mangsa iaitu anak lelakinya sedang menunaikan ibadah di bilik tidur, tiba-tiba didatangi lima suspek warga asing memukul belakang badannya menggunakan hulu parang.

"Lima suspek lelaki itu memakai pakaian warna gelap, berpelitup muka, bertopi baseball, berbadan kurus, sederhana tinggi serta bekulit sawo matang.

"Suspek terus mengacukan parang ke arah leher mangsa dan mengikat kedua belah tangannya. Suspek kemudian membawa mangsa ke bilik tidur ibu dan bapanya yang sedang tidur," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ahmad Adnan berkata, suspek kemudiannya mengejutkan ibu dan bapa mangsa, lalu mengikat kedua belah tangan bapanya menggunakan cebisan kain cadar di dalam bilik tidur tersebut.

"Suspek bertindak menggeledah di dalam rumah mangsa dan berjaya melarikan barangan kemas, telefon bimbit, beg tangan, wang tunai serta dua motosikal jenis SYM warna hitam (AJL 4686) dan Honda EX5 warna putih (AGT 682).

"Suspek mengugut mahu membunuh mangsa serta ahli keluarganya jika membuat laporan polis.

"Unit Forensik dan unit K9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Perak hadir di tempat kejadian untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan telah berjaya menemukan sembilan cap jari dan merampas barangan milik suspek yang ditinggalkan semasa kejadian," katanya lagi.

Tambahnya, anggaran kerugian dialami mangsa kira-kira RM39,500.

Jelasnya lagi,kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes itu boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Insp. Nurul Fa’eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222.