ALOR SETAR: Polis telah mengesan warganegara asing bagi membantu siasatan video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada seorang pelancong untuk mengelak disaman dan dibawa ke balai polis akibat tidak memakai topi keledar di Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, difahamkan pasangan pelancong berkenaan yang kini berada di luar Malaysia telah dihubungi melalui e-mail bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan kes tersebut akan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

“PDRM memandang serius perbuatan itu dan siasatan dilakukan mengikut 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Usaha mengesan saksi-saksi terlibat sedang dijalankan bagi membantu siasatan dan suspek akan dikenal pasti untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Fisol, Polis Kedah sentiasa peka dan mengambil berat tentang sebarang salahlaku oleh anggota dan pegawai PDRM serta sentiasa bersikap profesional dalam memastikan ketelusan tindakan dalam menguatkuasakan undang-undang.

Jelasnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta tampil untuk membantu siasatan menghubungi mana-mana balai Polis yang berdekatan.

Isnin lalu, tular sebuah video di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang pelancong warga asing ditahan ketika sedang menunggang motosikal.

Hasil perbualan antara pelancong terbabit dengan individu dipercayai pihak berkuasa mendapati dia perlu membayar RM100 jika tidak mahu disaman dan dibawa ke balai polis.