KULAI: Polis mengesan sekumpulan individu dipercayai terlibat lumba haram dan menutup laluan bagi memberi ruang kepada aksi tersebut di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada Sabtu.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, semakan mendapati kejadian berlaku dari arah Susur Tol Senai Utara hingga Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Menurut kenyataan itu, pihaknya telah menerima laporan berhubung video berkenaan dan siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti penunggang motosikal serta individu lain yang berada di lokasi kejadian.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kulai turut menjalankan siasatan susulan penyebaran video terbabit selain pihak polis juga telah berhubung dengan pihak PLUS Malaysia Berhad bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
"Seorang individu yang dipercayai berada di lokasi turut telah dikenal pasti," katanya pada Ahad.
Menerusi video tersebut, dua penunggang motosikal dilihat bersaing sesama sendiri termasuk melakukan aksi Superman manakala beberapa individu lain dipercayai berada di tepi lebuh raya sambil menyaksikan perlumbaan berkenaan.
Tindakan itu turut mengundang rasa tidak puas hati orang ramai kerana dipercayai menghalang pengguna lebuh raya lain dan boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. - Sinar Harian