KUANTAN: Polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang disyaki membuang bayi lelaki yang ditemui di tepi longkang berhampiran sebuah lobi lif Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, Sabtu lalu.

Bayi yang ditinggalkan dalam keadaan berbalut kain batik itu ditemui kira-kira jam 9.35 malam oleh seorang pengawal keselamatan (pengadu) yang sedang bertugas membuat rondaan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penemuan bayi malang itu dimaklumkan kepada pihak hospital sebelum dibawa ke Jabatan kecemasan HTAA untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, siasatan telah dijalankan bagi mengesan suspek terlibat termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.

"Bagaimanapun CCTV yang ada tidak menghala ke tempat bayi lelaki yang dijumpai.

"Siasatan lanjut mendapati berkemungkinan suspek melahirkan bayi itu di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan meninggalkannya di tepi longkang berhampiran sebuah lobi lif di HTAA itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan maklumat pihak hospital, bayi seberat 1.1 kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 12 jam sebelum ditemui.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Keluarga Wanita dan Masyarakat Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, bayi berkenaan dilaporkan semakin stabil dan masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.

Beliau berkata, bayi tersebut masih menerima rawatan rapi di Unit Intensif Neonatal (NICU). -- Sinar Harian