KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan 'Op Bantu' bagi menyelaras penyampaian bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi lain kepada mangsa banjir terutama yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata bagi tujuan itu, cawangan gerakan JKDNKA telah dipertanggungjawab bagi mengkoorddinasikan operasi tersebut.

"PDRM sentiasa bersedia untuk menggerakkan kekuatan operasi bagi menghadapi bencana banjir selain bekerjasama dengan agensi keselamatan lain untuk memastikan setiap misi bantuan dan menyelamatkan mangsa dapat dilaksanakan dengan pantas," menurutnya dalam kenyataan di sini malam Jumaat.

Beliau berkata secara keseluruhan, terdapat lima agensi termasuk PDRM yang ditugaskan dalam mendepani monsun timur laut dengan jumlah kekuatan 61,839 anggota.

Hazani berkata Pusat Kawalan Malaysia, Bukit Aman akan menjadi tempat pengumpulan maklumat sebelum disalur kepada ibu pejabat polis daerah berkaitan selain mengerahkan tenaga manusia dan logistik yang sesuai mengikut situasi.

Beliau turut menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar memberi kerjasama serta patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah demi keselamatan dan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

-- BERNAMA