LANGKAWI: Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki dalam tiga siri serbuan serta merampas syabu dan heroin bernilai RM141,058 di Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata hasil intipan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit Malut, Langkawi, jam 11 malam Rabu.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis menahan seorang wanita yang berada di dalam rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan menjumpai satu beg pinggang berzip berwarna merah jambu di atas lantai di ruang tamu rumah.

“Hasil polis menemui 28 tiub straw di dalamnya berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 3.96 gram,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shariman berkata, susulan itu sepasukan anggota dari unit sama menyerbu kawasan Kolam Udang di Bukit Malut dan berjaya menahan seorang lelaki pada jam 1 pagi Khamis.

Katanya, daripada hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai satu bekas plastik lutsinar yang dipegang di tangan kanan suspek.

Selain itu, polis turut menemui 13 tiub straw seberat 2.71 gram dadah jenis heroin.

Sementara itu, dalam serbuan ketiga polis menahan seorang wanita di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Malut pada jam 2.30 pagi hari sama.

“Pemeriksaan di dalam beg yang dipegang suspek polis menemui empat paket plastik lutsinar di mana didalamnya mengandungi serbuk ketulan berwarna putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 36.29 gram dan empat paket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu 14.42 gram,” katanya.

Jelas Shariman, susulan penangkapan ketiga-tiga suspek membawa kepada penemuan lapan peket plastik lutsinar masing-masing berisi serbuk/ketulan berwarna keputihan disyaki dadah jenis heroin dengan berat 3624.90 gram serta lapan paket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki syabu senerat 399.88 gram.

“Berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 3,663.9 gram (heroin) dan 418.26 gram (syabu) manakala nilai anggaran keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM91,529 (heroin) dan RM49,529 (syabu),” ujarnya.

Suspek ketiga direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 September dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Manakala dua suspek tangkapan awal direman selama empat hari bermula 15 hingga 18 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 39a (1) dan seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.