MALAYSIA
Polis nafi berlaku kes culik kanak-kanak di Kuala Berang

Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu merupakan OKU autisme yang menerima rawatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDPK) Kuala Berang.
KUALA BERANG: Polis menafikan berlaku kejadian culik melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme yang menerima rawatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDPK) Kuala Berang.
Beliau berkata kanak-kanak itu telah keluar dari PDPK tanpa disedari sebelum ditemui orang awam sedang berjalan di tepi jalan utama.
"Pihak PDPK menggunakan kaedah terapi mengikat tangan bagi melatihnya duduk diam semasa makan dan dipersetujui ibunya."Bagaimanapun, kanak-kanak itu telah keluar tanpa disedari selepas pintu dibuka kanak-kanak lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut dan ibu mangsa turut membuat penafian bagi menolak spekulasi berhubung dakwaan penculikan yang tular di media sosial.
Sehubungan itu, Sharudin menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video kanak-kanak terbabit demi menjaga nama baik keluarga mangsa serta institusi berkaitan.
Terdahulu tular rakaman berdurasi 30 saat di platform media sosial yang meminta orang ramai berhati-hati kerana dipercayai berlaku kes culik di Kuala Berang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami