GEORGE TOWN: Polis telah memberikan kelulusan permit bersyarat untuk perarakan pedati sempena Thaipusam mini bagi upacara keagamaan penganut Hindu di Seberang Perai Selatan (SPS), dekat sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menolak permohonan permit keagamaan atau membelakangi apa-apa berkaitan polisi kerajaan.

"Susulan hantaran menerusi laman sosial Facebook dimuat naik seorang individu yang mendakwa Ketua Polis Daerah SPS dengan sengaja melengah proses kelulusan permit perarakan keagamaan di daerah itu, hari ini saya ingin menafikan pihak polis tidak memberikan kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan itu.

"Terdapat kelulusan permit secara bersyarat, malah permohonan permit pihak tersebut telah diluluskan dengan syarat, bukan tidak lulus langsung,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah SPS Supt Lee Chong Chern dilaporkan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, David Marshel yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dengan mendakwa Lee enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit berkenaan.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata kelulusan bersyarat itu mengambil kira maklum balas masyarakat setempat, keselamatan dan kegusaran masyarakat malah tujuan permit bersyarat tersebut adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata kes itu akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan sudah dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya.

''Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebagai Ketua Polis Pulau Pinang sekiranya berlaku apa-apa kekurangan, tindakan tata tertib akan dijalankan,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata polis menahan sepasang kekasih dan seorang rakan wanita mereka bagi membantu siasatan beberapa kejadian samun bersenjata di Seberang Perai Tengah (SPT) termasuk yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Katanya mereka yang berusia 19 hingga awal 20-an itu ditahan selepas seorang wanita warga asing membuat laporan menjadi mangsa samun bersenjata oleh seorang lelaki dalam sebuah kedai dobi di Bukit Tengah, dekat sini pada 10.20 pagi, 30 April lepas.

"Suspek meluru masuk ke dalam kedai dobi itu sebelum meragut rantai emas mangsa dan kemudiannya melarikan diri dengan seorang wanita yang sedang menunggu di luar kedai bersama sebuah motosikal," katanya.

Menurutnya bertindak hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek di sebuah hotel di Butterworth pada 5.15 petang, 4 Mei lepas dan siasatan mendapati mereka terlibat sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjata di daerah SPT membabitkan kerugian RM4,000.

"Modus operandi mereka ialah menyamun mangsa dalam kalangan warga asing dan masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam jenayah samun.

"Suspek lelaki didapati positif dadah dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah," katanya dan menambah kesemuanya direman hingga 11 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA