KUANTAN: Polis Pahang menolak 50 permohonan menjual mercun dan bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri setakat 10 April lepas, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata permohonan yang ditolak itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 424 permohonan diterima pihaknya.

"Antara sebab permohonan ini tidak lulus ialah pemohon memiliki rekod jenayah, tiada surat sokongan daripada agensi lain, lokasi jualan tidak sesuai dan syarikat perniagaan mereka tidak berdaftar.

"Permohonan juga ditolak jika pemohon berniaga mercun dan bunga api secara dalam talian ataupun ada dalam kalangan mereka menyimpan stok bahan itu melebihi had dibenarkan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, malam tadi.

Ramli juga menasihatkan mereka yang mendapat kebenaran untuk menjual mercun dan bunga api supaya mematuhi peraturan ditetapkan, khususnya tempoh penjualan, iaitu 25 hari sebelum perayaan dan lima hari selepas itu.

Beliau berkata polis menahan sembilan lelaki dan merampas mercun serta bunga api bernilai RM13,060 kerana disyaki menjual barangan itu tanpa lesen di Kuantan dan Pekan pada operasi Isnin lepas.

Mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga keselamatan diri semasa bermain mercun atau bunga api serta berhemah dan tidak mengganggu ketenteraman jiran.

"Orang ramai diingatkan untuk tidak membakar mercun atau bunga api yang dilarang yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM100 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," tambah Ramli.

-- BERNAMA