MALAYSIA
Polis pengiring Istana Negara maut kemalangan

Difahamkan, mangsa cuba mengelak sebatang pokok yang tumbang di atas jalan, sebelum hilang kawalan dan terbabas. - Foto Facebook Istana Negara
HULU SELANGOR: Seorang anggota polis Cawangan Pengiring Istana Negara meninggal dunia dalam satu kemalangan di Jalan Sg Tua Ulu Yam, Hulu Selangor hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Ibrahim Husin berkata sewaktu kejadian, mangsa, Koperal Muhammad Faizal Ab Razak, 32, menunggang motosikal dari Batang Kali ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur dan cuba mengelak sebatang pokok yang tumbang di atas jalan tersebut.
Dia kemudian hilang kawalan dan terbabas di lorong bertentangan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.Menurut Ibrahim, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mengesahkan punca kematian, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-60641222, atau mana-mana balai polis berdekatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami