GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dengan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang di sini, pada Khamis lepas.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada pukul 9.15 malam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis Syabu  dianggarkan seberat 19.184 kilogram bernilai RM690,635.

Turut dirampas dua pucuk pistol bersama satu kelopak mengandungi 16 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, siasatan mendapati, dadah berkenaan adalah untuk pasaran antarabangsa dan kumpulan terbabit dipercayai menjadikan bilik hotel itu sebagai transit sebelum diseludup ke negara jiran melalui laluan laut.

Rahimi berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 34 hingga 41 tahun yang ditahan dipercayai penduduk tempatan sedang menunggu masa untuk ke laut bagi menghantar dadah berkenaan ke negara jiran.

“Kita percaya dadah ini untuk pasaran antarabangsa sebab tujuan ia dibawa ke tengah laut utk diedarkan… itu masih kita siasat. Mereka (suspek) berasal dari Pulau Pinang dan kita sedang siasat lagi kerana mereka terlibat dengan senjata api,” kata Rahimi.

Dalam pada itu, Rahimi berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada senjata api yang dirampas digunakan untuk kegiatan jenayah lain atau sebaliknya.

Menurut Rahimi, kesemua suspek juga positif dadah dan mempunyai rekod jenayah empat hingga 10 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 , Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Dalam perkembangan lain, Rahimi berkata, polis menahan sepasang kekasih pada 3 November lalu kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk pembunuhan seorang lelaki di Flat Sungai Pinang pada tahun 2019 lalu.

Rahimi berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di tepi jalan di Jelutong jam 10.30 pagi sementara pasangannya yang berusia 30 tahun pula ditahan di sebuah kondominium di Jalan Fettes di sini.

Turut dirampas sepucuk pistol jenis Beretta Brigadier bersama kelopak dan 11 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm),motosikal dan  telefon bimbit .

Dalam pada itu, polis percaya kedua-dua tangkapan itu mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang lelaki yang maut di tembak di Sungai Pinang, dua tahun lalu.

Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 14 rekod jenayah lampau manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah.

Kedua-dua mereka direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit sah .

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup tanpa permit yang sah.