Polis Pulau Pinang hari ini mendedahkan taktik sebuah sindiket dadah menjadikan Pusat Tanaman Hiasan (nurseri) di Bukit Tambun, sebagai pusat transit untuk menyimpan dadah sebelum dipasarkan ke luar negara.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas polis menyerbu pusat tanaman tersebut pada Selasa dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita .

Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, polis turut merampas 40 bungkus ketulan mampat dadah jenis syabu seberat 42 kilogram di dalam dua buah beg pakaian dengan anggaran bernilai RM4.2 juta.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supritendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dua suspek lelaki ditahan ketika sedang leka memindahkan dadah berkenaan dari sebuah kereta ke sebuah kereta yang lain.

Hasil siasatan lanjut, polis telah memeriksa rumah salah seorang lelaki berkenaan dan menahan seorang wanita warga Vietnam serta merampas satu paket syabu, 36 biji estacy dan tiga biji eramin five.

Kesemua saspek yang berusia 52,39 dan 27 tahun ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga 29 Jun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 .