MARAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman disiasat berhubung ucapannya pada persidangan Parlimen awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, bagaimanapun berkata ia merupakan siasatan biasa selepas pihaknya menerima laporan membabitkan Mohd Azis.

"Kita terima laporan, jadi kita jalankan siasatan, selepas itu kita akan rujuk AGC (Jabatan Peguam Negara). Ini baru siasatan dan bukan ambil tindakan lagi," katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan polis yang mengambil keterangan Mohd Azis, sebelum ini.

Selasa lepas Mohd Azis pada sidang media di bangunan Parlimen berkata beliau diminta memberikan keterangan kira-kira sejam selepas membangkitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lepas.

Semalam, ahli Parlimen pembangkang membangkitkan Peraturan Mesyuarat dan meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun campur tangan dalam isu berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan Lim Guan Eng sejurus selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36.10 mengenai isi-isi ucapan ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Guan Eng dilaporkan berkata, Azhar boleh membuat satu ketetapan mengenai perkara itu dan polis perlu merujuk kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.