KUALA LUMPUR: Pihak polis telah selesai merakamkan keterangan seorang pelakon remaja perempuan yang mendakwa dia diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memberitahu, selain remaja  itu, polis turut merekodkan percakapan ibu mangsa, pegawai perubatan dan individu dari program YouTube yang telah menemu bual remaja terbabit.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah menjalankan siasatan bersabit aduan yang dibuat oleh mangsa dan telah merakam semua keterangan saksi yang terlibat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Wan Azlan memaklumkan, dengan keterangan saksi-saksi itu, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

BACA: Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

Sebelum ini, pelakon itu  menerusi satu temu bual membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

Susulan itu, polis menahan bapa kandung remaja tebabit Selasa lalu. 

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisis.

Bapa mangsa juga difahamkan turut telah membuat laporan polis bagi menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh anaknya itu.