SHAH ALAM: Polis menafikan mengeluarkan kompaun kepada individu kerana memandu kenderaan sebelum 8 pagi seperti yang ditularkan menerusi media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib juga menegaskan tidak ada prosedur operasi standard (SOP) yang menyatakan kenderaan tidak dibenarkan berada di atas jalan sebelum 8 pagi dan selepas 8 malam.

Menurutnya polis mengesan satu klip video yang tular menerusi beberapa laman sosial sejak pagi tadi memaparkan perbualan anggota polis trafik dengan individu di dalam sebuah kereta di satu sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Anggerik Eria, Seksyen 31, Shah Alam.

Dalam perbualan itu anggota tersebut bertanya mengenai surat pergerakan dan tujuan pemandu kenderaan berkenaan ketika melakukan SJR bergerak Op Pelbagai Kesalahan Lalu lintas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 di lokasi tersebut.

"Anggota itu juga menerangkan SOP pergerakan PKP dan tidak ada mengeluarkan sebarang kompaun kepada pemandu berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Baharuddin berkata sebanyak 78 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dalam operasi tersebut yang bermula dari 7 hingga 9.30 pagi.

"Turut dikeluarkan adalah satu kompaun Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Peraturan 17 (3) (No 5) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Ketika Pelaksanaan PKP kepada sebuah kenderaan persendirian yang membawa penumpang melebihi had dibenarkan," katanya.

-- BERNAMA