ALOR SETAR: Polis sedang mengumpul maklumat mengenai dakwaan seorang pelancong asing bahawa beliau membuat pembayaran RM100 bagi mengelak daripada dibawa ke balai polis dan disaman kerana tidak memakai topi keledar di Pulau Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata video yang tular semalam itu dipercayai telah dimuat naik di laman media sosial YouTube pada 10 Nov tahun lepas.

"Pihak polis tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang terlibat.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi kira-kira satu minit 45 saat yang merakamkan percakapan lelaki warga asing itu dengan seorang individu lain yang memaklumkan bahawa dia mempunyai pilihan sama ada untuk pergi ke balai polis atau membuat pembayaran berjumlah RM100 bagi mengelakkan disaman.

-- BERNAMA