KOTA BHARU: Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian khianat membabitkan sebuah kereta milik isteri seorang imam warga Thailand di kawasan Jeti Kok Majid, Tumpat, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata dalam kejadian itu, lelaki berusia 30 tahun berkenaan mendapati kereta jenis Honda City berwarna putih mengalami kerosakan berupa tompokan cat hitam pada bahagian sisi kiri kenderaan.
Beliau berkata pengadu meletakkan kenderaan itu di kawasan jeti pada 7.10 malam sebelum ke Masjid Pulau Beluru untuk menunaikan solat Isyak.
“Setelah selesai menunaikan solat dan kembali ke lokasi pada 9.36 malam, pengadu mendapati terdapat kesan cat pada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Khairi berkata sebelum kejadian, pengadu turut menerima tangkap layar skrin daripada rakannya yang mengandungi kenyataan berhubung dakwaan beliau telah diugut berkaitan isu pemberian maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di kawasan kepulauan Tumpat.
“Pengadu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian, termasuk kemungkinan kaitan dengan maklumat yang diterima pengadu sebelum kejadian.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat melalui talian 09-7252482 atau hadir di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA